Rahmat Allah begitu luas yang terkadang tidak terjangkau oleh
akal fikiran kita dan tidak terhitung banyaknya.
Maka pada hari ini, izinkan saya mengajak para jemaah untuk
meneroka cara-cara untuk mendapatkan rahmat atau kasih sayang Allah. Salah satu caranya adalah dengan berbuat baik dan berlaku ihsan serta
mewujudkan sifat kasih sayang sesama manusia.
Manusia yang menyayangi saudaranya, pasti akan dikasihi Allah
SWT. Sebaliknya orang yang tidak mengasihi, pasti tidak akan dikasihi olehNya.
Pernah terdapat seorang sahabat nabi yang mempunyai sepuluh orang anak, tetapi
tidak pernah sedikitpun mencium anak-anaknya, lalu nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa
yang tidak mengasihi orang lain, maka dia juga tidak akan dikasihi oleh orang
lain.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan
At-Tirmizi)
Mengasihi anak yatim juga adalah merupakan sifat yang amat
dicintai oleh Allah dan nabi s.a.w. Adalah menjadi kewajipan kita untuk
mengasihi dan memuliakan serta menjaga kebajikan mereka. Nabi s.a.w pernah
bersabda yang bermaksud:
“Orang-orang
yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau
tidak, maka aku dan dia seperti dua jari ini di syurga kelak.” Dan baginda
memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya
berdekatan)”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Selain itu, berbuat baik serta berlaku ihsan kepada haiwan
juga adalah merupakan suatu sifat yang perlu kita semaikan dalam diri kita.
Benar, memelihara haiwan ini memang amat dianjurkan dalam Islam, tetapi pemiliknya
mestilah menjaga hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada haiwan peliharaannya.
Oleh itu, jika kita ada memelihara haiwan peliharaan di rumah
contohnya seperti ikan, kucing, arnab dan sebagainya, berilah makan dan minum
kepada mereka dengan secukupnya, jagalah kebajikan mereka dengan baik agar
haiwan tersebut dapat meneruskan kelangsungan hidupannya dengan baik.
Pernah disebutkan dalam hadis bahawa ada pemilik haiwan yang
diseksa kerana tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada haiwan
peliharaannya.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Ada
seorang wanita yang diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga
mati. Wanita itu lalu masuk ke dalam neraka kerana kucing tersebut dikurungnya
tanpa diberikannya makan dan minum dan tidak pula dibiarkannya bebas sehingga
dia dapat memakan serangga tanah.” (Hadis
Riwayat Imam Bukhari)
Demikianlah beberapa contoh mudah tentang cara kita bersifat
belas kasihan kepada seluruh makhluk Allah SWT di atas muka bumi ini. Oleh
kerana itu, kita pasti akan dikasihi oleh Allah dan seluruh penduduk yang ada
di langit jika memiliki sifat rahmat dan ihsan kepada seluruh makhlukNya.
Mudah-mudahan ianya menjadi salah satu sebab untuk kita mendapat 99 lagi
rahmatNya di Hari Akhirat kelak. Allahumma amin.
No comments:
Post a Comment