Dalam perniagaan terdapat banyak unsur-unsur kebaikan dan
manfaat kepada umat Islam jika dilaksana berlandaskan syariat Islam. Di antara
kebaikan-kebaikannya ialah :
1) Dapat
menjalinkan hubungan silaturahim dari kalangan rakan-rakan peniaga,
pembekal-pembekal, dan para pelanggan.
2) Dapat
memberi khidmat dan bakti secara langsung kepada masyarakat.
3) Terdapat
unsur-unsur kerjasama dan peluang serta keperluan untuk bekerjasama di antara
peniaga, pembekal dan pelanggan.
4) Ada sikap
tolak ansur, iaitu satu sifat terpuji yang sangat dianjurkan oleh Islam.
5) Membantu
dan memudahkan umat Islam mengurus dan mendapatkan keperluan hidup terutama
barang makanan dan minuman yang halal sangat dipandang tinggi dan dituntut
dalam islam.
6) Dapat
menyelamatkan barang keluaran umat Islam sama ada hasil pertanian, hasil
ternakan dan lain-lain dengan mengumpul dan memasarkannya. Sekiranya tiada
usaha begini akan menyebabkan barangan itu rosak dan terbuang seterusnya timbul
pembaziran sangat dilarang. Menjauhi dan mengelak pembaziran adalah satu
kewajipan.
7) Dapat
meperoleh banyak ilmu dan pengalaman melalui perniagaan sama ada di bidang
pengurusan, perakaunan, produk sehinggalah mengenali cara hidup dan masalah
manusia dan lain-lain lagi. Mencari ilmu dan pengalaman seperti ini sangat
dituntut oleh Islam.
8) Berlatih
untuk bersabar dan berlapang dada dalam menghadapi pelbagai kerenah manusia.
Orang yang sabar akan diberi pahala oleh Tuhan tanpa hisab.
9) Berniaga
adalah salah satu cara untuk memaju dan meningkatkan ekonomi umat Islam. Ia
merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi ; supaya
mereka dapat melihat kebesaran Tuhan, serta dapat dibesarkan dan dinikmati
segala nikmat dan anugerah-Nya agar manusia boleh bersyukur dan mendapat pahala
pula diatas kesyukuran mereka itu.
10) Berpeluang
mengeluarkan zakat perniagaan. Dengan itu salah satu rukun Islam dapat
ditunaikan dan mewujudkan salah satu sumber atau saluran untuk membantu fakir
miskin dan golongan yang memerlukan.
11) Perniagaan
mewujudkan peluang pekerjaan untuk manusia sebagai sumber mencari rezeki.
Sekali gus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ertinya, dengan adanya
perniagaan, tenaga manusia tidak dibazirkan dan manusia itu boleh jadi
produktif dengan mengeluarkan hasil untuk faedah manusia lain.
Jelas sekali melalui perniagaan banyak syariat Islam dapat
ditegakkan. Apabila pelbagai aspek dalam Islam dapat kita bangunkan maka
banyaklah ibadah kita. Oleh itu, tidak hairan lah Islam menganggap orang yang
berniaga secara jujur dan menepati kehendak-kehendak syariat itu sebagai orang
yang berjihad fisabilillah. Perniagaan juga dianggap pekerjaan yang paling baik
dalam Islam kerana kebaikan yang diperolehi oleh masyarakat hasil dari
perniagaan adalah terlalu banyak.
No comments:
Post a Comment